Hukum suami pukul isteri menurut Islam



 Baru-baru ini sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang suami membelasah isterinya di dalam sebuah lif di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam telah mendapat perhatian banyak pihak.

Rakaman CCTV itu kemudiannya telah dimuat naik dan disebarkan secara meluas dalam laman sosial seperti Facebook dan YouTube.

Insiden malang itu turut diperhatikan dua anak kecil pasangan terbabit yang masing-masing berusia empat dan lima tahun.

Lelaki terbabit telahpun didakwa di mahkamah pada Jumaat namun mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya itu.

Ia menimbulkan pelbagai persoalan, termasuk sejauh mana seseorang suami itu dibenarkan memukul isteri dari perspektif Islam.

“Suami tidak boleh memukul isteri. Pukulan yang dibenarkan hanyalah sekadar mendidik sahaja tanpa mencederakan serta tidak menjatuhkan maruah isteri” kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai rakaman tersebut.

Menurut Mashitah, pukulan berbentuk mendidik ini adalah senjata terakhir yang boleh digunakan setelah semua jalan lain gagal iaitu dengan memberikan teguran baik dahulu kepada isteri kemudian memboikot tempat tidur.

Mashitah juga turut memberikan tips bagaimana untuk mengawal dan meluahkan kemarahan kepada suami di luar sana.

“Isteri bukan ‘punching bag’ dan tempat meluah kemarahan. Ketika marah dinasihatkan dalam Islam pertamanya mengubah keadaan posisi diri dulu. Iaitu jika berdiri hendaklah duduk, jika duduk hendaklah berbaring"

Katanya lagi marah itu datang dari syaitan dan hawa nafsu, seorang Islam haruslah beristighfar, ambil wuduk, bersolat dan banyakkan bercakap untuk meredakan kemarahan.

Manakala menurut pendakwah bebas Dr. Fathul Bari Mat Jahya, hukum memukul isteri adalah Harus namun ada cara dan syaratnya.

“Islam membenarkan seorang suami memukul isterinya dengan bersyarat iaitu memukul bertujuan untuk mengajar, pukulan yang tidak meninggalkan kesan dan tidak memukul di muka” kata Fathul.

Fathul turut mengecam tindakan lelaki yang memukul isteri di dalam lif tersebut yang disifatkan kebinatangan.

“Memukul isteri sedemikian sehingga terdedah aurat isteri, hukumnya Haram. Jelas sekali si suami terlalu mengikut emosi dan bersifat kebinatangan.”

Fathul juga memberi nasihat kepada suami isteri agar sentiasa berkomunikasi dan berbincang dengan baik dalam apa jua masalah yang mereka hadapi.

“Seorang suami perlu bijak dalam menyelesaikan masalah rumah tangga dan jika tidak ada penyelesaian, berjumpalah dengan orang tengah seperti pakar kaunseling agar permasalahan dapat diselesaikan dengan baik” katanya lagi.

Dalam Islam isteri adalah tanggungjawab seorang suami dan Islam juga mengajar kepada umatnya agar berlemah lembut dan bertimbang rasa di dalam segala hal, terutama sekali di dalam perkara- perkara berhubung dengan rumahtangga.

Beliau turut memetik sabda Rasulullah dalam hadis yang bermaksud :

"Sesempurna iman orang-orang mukmin ialah yang paling baik kelakuannya, dan yang paling lembut terhadap isterinya" Riwayat Imam Al Bukhari dan Muslim.